KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
18 March 2014
KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN TAN SRI MUHYIDDIN MOHD YASSIN
MENGENAI PENAMBAHBAIKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS)
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin
terhadap isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah
dibangkitkan oleh guru-guru.
PBS merupakan dasar yang melibatkan pentaksiran secara
menyeluruh (holistik) terhadap pencapaian murid yang terangkum menerusi empat
komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti
Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan
Pentaksiran Pusat (PP).
Selain itu PBS merupakan sistem pentaksiran yang akan
digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai
berasaskan peperiksaan semata-mata.
Jemaah Menteri pada Disember 17, 2010 telah bersetuju
supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi
pendidikan. Pengoperasian PBS mula dilaksanakan di sekolah rendah pada
sesi persekolahan tahun 2011 dan sekolah menengah pada sesi persekolahan
tahun 2012.
Walaubagaimanapun, pada 11 Februari tahun ini, KPM
telah membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula
pelaksanaannya.
Ini adalah kerana guru-guru menyatakan bahawa
mereka dibebankan dengan kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian
pelajar ke dalam sistem komputer berpusat yang menjadi bebanan kepada mereka,
manakala ibubapa pula tidak pasti bagaimana murid dinilai terutama pelajar
tingkatan 3 tahun ini yang merupakan kohort pertama melalui PBS.
Penangguhan ini adalah untuk mengenalpasti
permasalahan yang ditimbulkan ekoran daripada rungutan guru-guru dan ibu-bapa
dan mengambil langkah-langkah yang perlu dan segera dalam penambahbaikan PBS.
Ekoran dari kajian semula PBS, KPM telah mengambil
langkah proaktif dengan mengadakan beberapa siri perbincangan dan pertemuan
dengan kesatuan-kesatuan guru serta beberapa kelompok guru-guru untuk
mendapatkan maklum balas dan membantu dalam memberi input kepada penambahbaikan
PBS.
Isu-isu pelaksanaan PBS
Berdasarkan kajian KPM dan input daripada guru-guru
dan kesatuan-kesatuan guru, didapati terdapat tiga isu utama berkaitan
perlaksanaan pentaksiran sekolah.
Pertama, ialah
penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang menyebabkan guru terikat dengan
bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang
banyak.
Bagi menangani isu ini, KPM telah menetapkan DSP
dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Guru mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang
dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu
dikuasai oleh murid. Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid
berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk kepada
Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid tersebut.
Guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut
kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri. Perekodan ini menggambarkan
perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang
boleh dimaklumkan kepada ibu bapa. Dengan yang demikian, guru tidak lagi
dibebankan dengan pengumpulan data dan evidens hasil kerja murid melalui pernyataan
evidens yang terlalu kompleks.
Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian
anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan
mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir
tahun sekolah.
Isu kedua ialah
pengurusan fail yang rencam meliputi Fail Perkembangan Murid (FPM) dan Rekod
Transit.
Bagi menangani masalah ini, guru tidak perlu lagi
menyediakan FPM dan melengkapkan Rekod Transit. Perekodan perkembangan
pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru.
Ketiga, perekodan
prestasi murid melalui Sistem Pengurusan PBS (SPPBS) secara atas talian
(online) yang sukar diakses dan memakan masa yang lama.
Oleh kerana bilangan pernyataan deskriptor dan evidens
telah dikurangkan, secara otomatik guru-guru tidak akan dibebankan dengan
kesibukan mengisi dan merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer
berpusat.
Bagi memastikan guru memberi fokus terhadap pengajaran
dan pembelajaran, guru tidak perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi
SPPBS secara online seperti sebelum ini. Guru boleh merekodkan perkembangan
pembelajaran murid secara offline.
Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah
Rendah (PMR) di Tingkatan 3 akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3
(PT3). Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang
akan dilaksanakan di peringkat sekolah.
PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian
bertulis dan ujian lisan. Manakala mata pelajaran Science, Mathematics, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab,
Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazandusun akan menggunakan
instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja. Mata pelajaran Sejarah dan
Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan
bertulis (assignment), ujian amali (practical test), projek, kajian lapangan
(field study) atau kajian kes (case study).
Melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir
dan memberi skor terhadap pentaksiran tersebut berpandukan instrumen dan
panduan peraturan penskoran yang setara (standardised) yang disediakan oleh
pihak Lembaga Peperiksaan (LP). LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP
akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan.
Moderasi ialah suatu proses menyelaras markah yang
diberi oleh beberapa orang pemeriksa ke atas hasil kerja murid bagi mendapatkan
satu markah yang dipersetujui bersama. Persetujuan ini adalah berdasarkan
peraturan pemarkahan yang disediakan dan merupakan prosedur untuk memastikan
ketekalan (konsistensi) pemberian markah antara pemeriksa. Verifikasi pula
ialah proses menentusahkan markah yang diperoleh murid adalah markah yang
selayaknya diterima.
PT3 ini juga akan digunakan sebagai asas untuk
menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama
Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara
(MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional. Di samping
PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga menggunakan Ujian Psikometrik
bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan
minat mereka.
Untuk memastikan PBS yand telah di tambahbaik ini
dapat dilaksanakan dengan berkesan dan seperti yang dihasratkan, KPM akan
mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaannya kepada
pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir
dan guru-guru.
Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru
dapat melaksanakan pentaksiran. Oleh itu, KPM akan berusaha mengadakan latihan
supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Selain daripada itu, KPM juga akan
mengadakan latihan bagi meningkatkan kemahiran guru memeriksa jawapan murid.
Penambahbaikan PBS akan di laksanakan mulai April 1.