Thursday 27 March 2014

Sarana

SMK Taman Tuanku Jaafar sekolah contoh pelaksanaan sarana ibu bapa

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Jaafar dekat Seremban, dipilih oleh Kementerian Pendidikan mewakili Negeri Sembilan untuk menjadi sekolah contoh bagi pelaksanaan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah baru-baru ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Taman Tuanku Jaafar, Datuk Mohd. Nordin Mohamad berkata, pihaknya bersama Pengetua, Omar Ahmad telah menghadiri mesyuarat berkenaan perkara itu di kementerian dan diminta mengemukakan pelaksanaan program Sarana yang dijalankan PIBG sekolah.
Menurutnya, SMK Taman Tuanku Jaafar dipilih untuk menjadi contoh kepada pelaksanaan Sarana Ibu Bapa kerana PIBG sekolah aktif menggerakkan program bersama sama ada pihak sekolah, ibu bapa, komuniti termasuk pihak swasta.

''Usaha ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahukan lebih penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkan penyertaan komuniti dengan sekolah.
''Seperti yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, salah satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi menyediakan pendidikan yang berkualiti adalah kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sarana ibu bapa diperkenalkan bagi meningkatkan interaksi ibu bapa dengan anak-anak sekali gus memberi peluang kepada golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Mohd. Nordin memberitahu, sejak dua tahun lalu, di bawah program Sarana Ibu Bapa, pihaknya membawa ibu bapa datang melawat bilik darjah, meninjau secara dekat perkembangan pembelajaran anak-anak mereka di sekolah dan melihat keperluan lain anak-anak di sekolah.

''Susulan daripada tinjauan itu, ada ibu bapa yang sukarela membuat langsir bilik darjah, membetulkan meja kerusi, menganjurkan pertandingan golf amal sekolah, kenduri PIBG dan pelajar, Sarana bersama pelajar MSU dan Cosmopoint, solat hajat, kelas persediaan malam, hari graduasi termasuk penglibatan komuniti dengan media elektronik," katanya.

Selain itu, katanya, PIBG sekolah turut menganjur Seminar SMKTTJ yang mencetus idea memperindah bilik darjah pelajar di sekolah, ibu bapa menjadi urusetia pada program lawatan pelajar Maahad Tahfiz As-Saadiyyah dan lawatan ke SMK Mambau tahun lalu.

''Kita juga menganjurkan Unit Peronda Ponteng Sekolah malah salah seorang ahli melakukan kerja membaiki meja dan kerusi mana-mana bilik darjah, membaiki komputer yang rosak dan mengemas bilik pada waktu sesi petang,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, melalui Sarana Ibu Bapa ini, mampu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
SMK Tuanku Jaafar adalah pelanggan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor.
Sekolah ini melanggan sebanyak 22,600 naskhah Tutor yang ditaja oleh Pengarah Urusan KBKL Sdn. Bhd., Datuk Lee Su Hong.
Kata Mohd. Nordin, akhbar pendidikan berkenaan berupaya menjadikan pelajar lebih matang menerusi latihan serta kandungannya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140324/pe_03/SMK-Taman-Tuanku-Jaafar-sekolah-contoh-pelaksanaan-sarana-ibu-bapa#ixzz2xDSScoTx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment