Tuesday, 4 March 2014

1 Murid 1 Sukan

1MURID 1SUKAN

RASIONAL

Dasar 1M 1S mendokong Dasar Sukan Untuk Semua, di mana dasar ini menitikberatkan penglibatan  semua murid dalam pelbagai aktiviti dan peringkat sukan. Dasar ini dibentuk atas rasional segala kegiatan sukan adalah sebahagian daripada transformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada aspek-aspek yang lain seperti mata pelajaran akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.

MATLAMAT

Dalam jangka masa panjang, dasar ini berhasrat membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk  budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat, cergas dan berdaya saing tinggi.

KONSEP

Dasar 1M 1S adalah program pembangunan sukan di sekolah yang mewajibkan setiap murid dari Tahap 2 di sekolah rendah hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan yang dikendalikan secara terancang dan sistematik. Dasar 1M 1S adalah berteraskan kepada prinsip-prinsip asas perkembangan fizikal murid-murid. Justeru itu, Dasar 1M 1S adalah diwujudkan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar;

            4.1       Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif;
            4.2       Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah;
            4.3       Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke  tahap yang lebih tinggi;

PRINSIP PELAKSANAAN

Pelaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip pelaksanaan berikut:

            5.1       Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis  sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk murid Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah
rendah serta Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah.
Walau bagaimanapun murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program
ini berdasarkan kemampuan sekolah
           
5.2       Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang
ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan oleh pihak lain dengan pengetahuan dan
persetujuan pihak sekolah.

5.3       Asas kepada 1M 1S adalah pelaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan
Kesihatanyang berkualiti di sekolah. Segala sumber untuk mata pelajaran Pendidikan Jasmani hendaklah diguna sama bagi program 1M 1S.
           
5.4       Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan.
           

5.5       Penyertaan dalam sukan adalah asas kepada perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi murid.

No comments:

Post a Comment