Sekapur Sirih
Pengetua
SMK Felcra Bukit Kepong
Bismillahirahmanirrahim
Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan inayahNya kita masih berkhidmat lagi pada tahun 2014. Pada kesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru SMK Felcra Bukit Kepong Muar kerana sepanjang tahun 2013 telah berjaya mengemudi sekolah mengikut haluan yang tepat sehingga kita berjaya mengecapi pelbagai kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah murid.
Sesungguhnya kesinambungan agenda pembangunan kecemerlangan sekolah mungkin terhalang jika kita gagal mengurus sumber manusia dengan efektif. Justeru penetapan bidang tugas yang jelas dan terancang dengan mengambil kira kepakaran dan kemahiran perlu disediakan. Kita yakin bahawa panduan ini mampu membantu kita merealisasikan hasrat dan cita-cita murni tersebut. In Sha Allah semua guru dan staf kita lebih terpandu melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih berkesan dan memberi impak tinggi.
Oleh itu, sekolah kita mesti diurus tadbir secara profesional dan berkesan dengan menggembeling seluruh kekuatan sumber manusia yang ada. Sehubungan dengan itu, kita amat berharap agar semua guru dan staf pelaksana menjadikan buku ini sebagai panduan bersama ke arah urus tadbir yang berkesan dan berwibawa .
Tahun 2014 merupakan fasa gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Justeru sebagai warga pendidik kita seharusnya jelas dan mampu menghayati hasrat yang terkandung dalam pelan pembangunan tersebut. Sesungguhnya kejayaan PPPM sangat-sangat bergantung kepada komitmen dan intizam semua warga pendidikan khususnya dalam kalangan guru.
Akhirnya, saya mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua guru yang terlibat dalam menghasilkan buku pengurusan ini. Bersama-sama kita berganding bahu demi untuk merealisasikan hasrat dan visi kita yang baru.
Sekian terima kasih.
HAMIDAH BINTI REDUAN
PENGETUA SMK FELCRA BUKIT KEPONG
MUAR
No comments:
Post a Comment